
ALOR SETAR: Pameran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini mendapat sambutan hangat para pengunjung.
Kurator Kanan Jabatan Muzium Malaysia (Bahagian Pameran dan Pengembangan), Mohd Noorzairi Salleh berkata, secara keseluruhan terdapat 30 reruai pameran disediakan kepada orang ramai yang mengunjungi festival berkenaan.
Beliau menjelaskan, reruai pameran terdiri daripada muzium Persekutuan, muzium negeri, muzium institusi dan dua didatangkan dari luar negara iaitu Indonesia serta Singapura.

“Pada kali ini, tema pameran FHMAPK 2025 adalah Inovasi: Muzium Digitalilasi Dalam Memartabatkan Warisan Negara.
“Pameran ini menggabungkan elemen warisan dan digital untuk diketengahkan kepada orang ramai sejajar perkembangan dunia digital kini,” katanya ketika ditemui ceritera.
FHMAPK 2025 pada kali ini mengambil pendekatan merakyatkan muzium dengan mensasarkan 150,000 pengunjung.
Ia merupakan satu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

Mohd Noorzairi menambah, setiap muzium yang mengambil bahagian akan menggunakan kaedah teknologi unik dalam mengolah keunikan jalan cerita pameran mereka kepada pengunjung.
Sebagai contoh, ujarnya lagi, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengisahkan tentang kapal karam di perairan negara yang menjadi laluan penting di dunia dengan tema Pelayaran Terakhir.
“Ia juga memberi pengetahuan kepada pengunjung peranan JMM melalui arkeologi maritim dan lain-lain malah konsep reka bentuk Pelayaran Terakhir ini akan membawa pengunjung melalui satu ekspedisi menyelam ke dasar laut untuk menjelajah sebuah tapak kapal karam yang misteri.
“Paparan kapal karam sebagai kapsul masa yang penuh misteri serta penerangan mengenai sebab-sebab mengapa kapal karam tidak terkecuali dapat diketahui pengunjung,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, terdapat juga Muzium Telekomunikasi Negara yang membawa penceritaan era digital menggabungkan persembahan koleksi artifak sejarah, teknologi interaktif dan multimedia imersif.
Mohd Noorzairi berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menimba ilmu kerana terdapat banyak bahan pameran menarik dari setiap negeri di Malaysia dikumpulkan dalam satu ruang pameran.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Nurul Azuwad Hashim, 46 berkata, dia bersama keluarga dapat menimba pelbagai ilmu baharu dan menarik terutama tentang sejarah negara.
Ujarnya yang menetap di Qatar selama 14 tahun menambah, dia bersama keluarga dalam rangka percutian di Kedah mengambil peluang mengunjungi muzium berkenaan.
“FHMAPK 2025 dapat memberi pendedahan kepada anak-anak saya mengenai pelbagai sejarah dan warisan setiap negeri di negara ini.
“Bahkan, terdapat juga badan beruniform negara yang mengambil bahagian dalam pameran ini membuatkan anak-anak saya teruja untuk mendekati perajurit-perajurit negara,” katanya yang berasal dari Jasin, Melaka.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, Muhammad Izuan Hafis Muhamad, 17 pula, dia dapat mengetahui mengenai sejarah tembikar mambong apabila mengunjungi reruai Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Katanya, tembikar mambong merupakan antara warisan tertua yang pernah mewarisi budaya masyarakat Melayu di pesisir Sungai Galas, Kelantan sejak abad ke-19.
“Selain itu, terdapat banyak lagi pameran-pameran menarik yang menggunakan teknologi pendigital dalam penceritaan mereka,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang festival berlangsung termasuk demonstrasi permainan tradisional, pertandingan masakan, jualan kraf, sukan rakyat dan persembahan kebudayaan.
Selain itu, terdapat juga bengkel wau, cabutan bertuah, program Pakat Tughun Bendang, bola sepak bendang, malam kerohanian, Museum Fun Run dan banyak lagi.
Festival turut menjangkau komuniti di Baling termasuk suku kaum Kensiu; antara etnik Orang Asli tertua di Semenanjung.






