KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pemilik akaun aplikasi X yang dikesan memuat naik ciapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah berkaitan serangan Israel terhadap kediaman Perdana Menteri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, memaklumkan siasatan dimulakan sejurus laporan polis diterima dan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5.
Katanya, dua suspek tersebut dikenal pasti berusia 37 dan 43 tahun yang disyaki mengendalikan akaun @ChongKahtze dan @iFactoReal sudah ditahan.
Menurut Kumar, akaun @ChongKahtze memuat naik ciapan yang mendakwa Malaysia akan diambil alih oleh kumpulan ekstremis sehingga boleh mencetuskan revolusi.
Sementara itu, akaun @iFactoReal memuat naik komen yang berkaitan dengan serangan Israel terhadap kediaman Perdana Menteri.
Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kes kedua pula disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suspek pertama diberi reman selama dua hari bermula hari ini, manakala suspek kedua direman selama empat hari sehingga Khamis ini.
Datuk M Kumar menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah serta boleh menimbulkan kegentaran awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini,” ujarnya.
