
KUALA LUMPUR: Kolej Komuniti Segamat (KKS) dan Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) diberi pelepasan untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta bekerja dari rumah (BDR) bermula hari ini hingga 27 Ogos, susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Johor, awal pagi semalam.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPK) memaklumkan, pelepasan itu diberikan selepas pemeriksaan awal yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat keretakan kecil pada dinding bangunan dan beberapa ruang bahagian dalam KKS namun ia tidak melibatkan kerosakan pada struktur dan bahagian rasuk struktur bangunan.
“Pemeriksaan bangunan utama di dua blok asrama KKS 2 yang menempatkan lebih kurang 200 pelajar turut dijalankan. Pelajar telah diarahkan pulang bagi memberi ruang kepada kerja pemeriksaan bangunan dengan lebih lanjut namun operasi pejabat akan berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan tersebut di sini, hari ini.
Menurut JPPK, pihaknya akan terus memantau keadaan itu bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi institusi terus terjamin.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gegaran pertama berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat berlaku pada 6.13 pagi manakala gegaran kedua pada 9 pagi bermagnitud 2.8 di kawasan Yong Peng di Batu Pahat, iaitu kira-kira 28 kilometer di barat laut Kluang.
Polis mengesahkan menerima tiga laporan kerosakan harta benda susulan gegaran itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.





