
KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki autistik dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan Kim Chu Sin, Batu Kawa, sejak petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, memaklumkan polis menerima laporan mengenai kehilangan Enrique Bong Kai Cen sekitar pukul 6.17 petang.
“Enrique dilaporkan hilang kira-kira pukul 4.15 petang dan ketika itu memakai kemeja-T putih tanpa kolar, seluar pendek coklat serta berselipar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, menurut laporan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, usaha pencarian oleh ahli keluarga menemui sepasang kasut milik mangsa pada jarak kira-kira 10 hingga 30 meter dari kawasan rumah, berhampiran anak sungai Kampung Kim Chu Shin.
Susulan laporan itu, JBPM menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba menjalankan pencarian di kawasan hutan, kebun dan anak sungai, manakala penduduk kampung turut membantu memantau di jeti sungai besar Batu Kawa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Sarjan Alex Daniel Jita di talian 011-1881 6338 atau 082-862 233, atau mana-mana balai polis berdekatan.






