KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan seorang individu warga asing yang dipercayai pemilik nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata usaha mengesan suspek dijalankan dengan bantuan “rakan-rakan” daripada pihak berkuasa lain, dan beliau yakin penahanan boleh dilakukan dalam masa terdekat.
“Kita masih memohon bantuan daripada pihak rakan-rakan dan saya percaya kita akan mendapatkannya secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Khas Ke-3 PDRM 2025 di ibu negara hari ini.
Mengulas dakwaan mengenai seorang individu yang dikaitkan dengan serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu, Khalid menjelaskan perkara tersebut masih dalam siasatan.
“Perkara itu kita tidak dapat pastikan lagi. Ia masih dalam siasatan,” katanya ringkas.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan polis sudah mengenal pasti nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi.
Nombor tersebut didaftarkan atas nama seorang warga asing, dan pihak polis kini sedang giat mengesan individu terbabit.
Ketika ditanya sama ada pihak polis sudah mengenal pasti jenis cecair yang disuntik ke badan anak Rafizi, Khalid menjawab mereka masih menunggu laporan kimia daripada hospital.
Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan anak Rafizi yang berusia 12 tahun diserang oleh dua lelaki menaiki motosikal, yang disyaki menyuntik sejenis cecair ke tangan kirinya.
Kejadian berlaku di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar sebelum ini memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung insiden tersebut.
