
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun.
Hakim turut memerintahkan Ketua Polis Negara selaku responden pertama atau wakil pegawainya untuk menyelia proses penggalian semula jenazah Syamsul yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Shah Alam.
Bedah siasat kedua itu juga perlu dijalankan oleh pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur dengan disaksikan oleh pakar patologi forensik kanan, Dr Bhupinder Singh, bersama peguam keluarga atau wakil dari firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Laporan bedah siasat berkenaan mesti disiapkan dalam tempoh munasabah, dan salinan laporan perlu diserahkan kepada pihak peguam keluarga.
Permohonan untuk penggalian semula difailkan Ummu pada 14 Ogos lalu, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Menurut dakwaan Ummu, bedah siasat pertama tidak dijalankan oleh pakar forensik hospital, sebaliknya dilakukan oleh seorang pegawai perubatan gred UD10.
Katanya, keluarga tidak diberi peluang untuk melihat keseluruhan keadaan jenazah anaknya.
Syamsul Haris, 22, merupakan anak sulung daripada tiga beradik, dan meninggal dunia pada 28 Julai lalu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat, Ulu Tiram, Johor.
Beliau dilaporkan mengalami sawan sebelum meninggal dunia, namun Ummu mendakwa jenazah anaknya mempunyai lebam dan kecederaan yang menurutnya lebih konsisten dengan kesan serangan fizikal, bukan akibat sawan.
Sebelum ini, pada 13 Ogos, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa hasil awal siasatan tidak menemui sebarang tanda penderaan fizikal terhadap Syamsul.
Namun, laporan lengkap bedah siasat hanya dijangka siap dalam tempoh dua bulan.






