SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga dari sebuah sekolah berasrama di Sabak Bernam tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, semalam.
Mangsa berusia 15 tahun itu baru sahaja menjalani pembedahan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Menurut ibunya yang enggan dikenali, anaknya kini ditidurkan dan menunggu menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) bagi pemeriksaan lanjut.
“Saya sampai ke hospital pukul 4 pagi, tapi tidak tahu kejadian sebenar berlaku pada pukul berapa.
“Bila tiba, saya hanya nampak anak saya sudah terlantar di atas katil hospital,” katanya ketika dihubungi.
Wanita itu turut menyifatkan anak ketiganya daripada empat beradik itu sebagai seorang remaja yang berperwatakan lemah lembut dan tidak pernah menimbulkan masalah.
“Saya hanya mampu bersabar dan tunggu di luar bilik pembedahan sejak pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menyiasat insiden berkenaan.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh dijalankan merangkumi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakan sekelilingnya.
“Ketika ini, kita giat mengumpulkan keterangan daripada beberapa saksi dan individu berkaitan. Sebarang spekulasi, termasuk dakwaan wujud unsur buli, adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan selesai.
