KUALA LUMPUR: Seramai 803,332 warga Bangladesh merupakan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif di Malaysia setakat 30 Jun lalu, menjadikan mereka kumpulan pekerja asing terbesar di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu mewakili 37 peratus daripada keseluruhan pekerja asing di negara ini sekali gus menjadikan Bangladesh sebagai negara sumber utama bagi pekerja berkemahiran rendah di Malaysia.
“Berdasarkan data tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh bagi tahun 2022 dan 2023, seramai 790 orang telah ditahan kerana kesalahan tinggal melebihi tempoh pas yang sah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) berhubung statistik pekerja Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia, status mereka, dan jumlah yang telah dihantar pulang.
Menurut Saifuddin, selepas sempadan negara dibuka semula pasca pandemik Covid-19, 49,353 pekerja Bangladesh direkodkan masuk ke Malaysia pada tahun 2022.
Manakala pada tahun 2023, kerajaan memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mempercepatkan proses pengambilan tenaga kerja asing sebagai langkah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Melalui pelan ini, seramai 397,548 pekerja warga Bangladesh telah direkodkan masuk ke Malaysia pada tahun 2023,” katanya.
Dalam tempoh yang sama, seramai 20,331 pekerja Bangladesh dihantar pulang pada 2022, manakala 23,065 dihantar pulang pada 2023 oleh majikan masing-masing selepas tamat tempoh kontrak atau atas pelbagai sebab lain.
Jabatan Imigresen Malaysia memantau secara berterusan keberadaan dan status pekerja asing di negara ini, termasuk tindakan terhadap PATI serta kerjasama dengan negara sumber bagi memastikan pengurusan tenaga kerja asing berjalan secara teratur.
