
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 4,128,760 laporan membabitkan pelbagai kes dan aduan orang ramai sepanjang tahun lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 467,388 telah dibuka kertas siasatan.
“Saya ambil rekod tahun lalu, laporan polis yang kita perolehi, setiap tahun tidak kurang daripada 300,000.
“Saya nak maklumkan kita sudah pun menyebarluas kepada kakitangan (PDRM) kita di semua peringkat dan kepada rakyat apa tindakan yang telah pun kita ambil,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Shamsul Anuar mengulas dakwaan terdapat balai polis enggan menerima laporan daripada orang awam yang tidak mematuhi etika pemakaian.
Menjawab soalan asal Ramkarpal Karpal (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang memperkenal undang-undang mewajibkan semua balai polis di seluruh negara menerima laporan pihak awam tanpa mengambil kira keadaan pakaian mereka, beliau berkata, arahan pentadbiran dikeluarkan kepada semua penjawat awam sudah memadai.
“Kementerian berpandangan arahan pentadbiran yang sudah dikeluarkan ketika ini mencukupi dan berkuatkuasa serta-merta di seluruh negara. Arahan itu sebenarnya selari dengan Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2025.
“Pendekatan ini juga selari dengan prinsip penyampaian perkhidmatan awam yang digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2025.
“Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara adalah punca kuasa pentadbiran yang mengikat semua jabatan dan agensi persekutuan untuk melaksanakannya,” katanya.







