
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, direman selama empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey berkata, perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut beliau, kejadian pukul 11.40 pagi semalam itu membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
“Siasatan awal mendapati sebuah Honda City yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak secara melulu dan pada kelajuan tinggi dari arah Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an tercampak dan terjatuh di atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ujian saringan awal mendapati suspek positif alkohol dan dadah, sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







