
KUALA LUMPUR: Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat hantaran berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, 43 tahun, menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Wang jaminan sebanyak RM15,000 juga diperintahkan dipulangkan.
Pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerbitkan kandungan berunsur hasutan berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim melalui akaun Twitter (kini dikenali sebagai X) miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada jam 12 tengah hari, 29 April 2024, mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira latar belakang tertuduh sebagai bekas anggota polis yang sepatutnya lebih memahami undang-undang.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri memohon hukuman denda yang ringan. Beliau memaklumkan anak guamnya merupakan bapa kepada lima orang anak, termasuk seorang anak bongsu yang menghidap autisme dan memerlukan kehadiran figura lelaki di rumah.







