KOTA BHARU: Jawatan Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) yang dikosongkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka diisi daripada kalangan pemimpin tertinggi atau kanan PAS.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan pengerusi berkenaan tidak akan ditentukan secara unilateral oleh mana-mana parti, sebaliknya perlu diputuskan melalui perbincangan dan persetujuan bersama dalam gabungan PN.
“Daripada sudut pandang PAS, calon yang sesuai seharusnya terdiri daripada pemimpin tertinggi atau kanan parti.
“Namun, keputusan muktamad mesti dibuat dalam satu mesyuarat,” katanya.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, secara kebiasaannya jawatan berkenaan melibatkan kepemimpinan kanan, namun enggan mengulas lanjut mengenai individu tertentu.
“Sama ada pemimpin tertinggi atau sebaliknya, kita biarkan ia menjadi misteri buat masa ini,” katanya.
Mengulas mekanisme pemilihan, beliau berkata mesyuarat berkenaan akan melibatkan parti-parti komponen PN iaitu BERSATU, PAS, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Katanya, gabungan itu mempunyai badan tertinggi yang dikenali sebagai Majlis Presiden, yang dianggotai presiden parti-parti komponen.
“Namun, pengerusi PN tidak semestinya seorang presiden parti. Jika individu tersebut kebetulan merupakan seorang presiden, itu hanyalah secara kebetulan dan bukan satu syarat wajib.
“Pada prinsipnya, sesiapa sahaja boleh dipilih, asalkan mendapat persetujuan kepemimpinan gabungan,” jelasnya.
Takiyuddin menegaskan sebarang pelantikan akan dibuat berdasarkan mekanisme sedia ada PN serta melalui konsensus semua parti komponen.
Sebelum ini, Muhyiddin mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Peletakan jawatan itu disusuli tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa ketua PN negeri daripada Bersatu yang turut mengundurkan diri.
Susulan perkembangan tersebut, PAS menyatakan kesediaan menerajui gabungan berkenaan, dengan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggesa satu mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan dalam masa terdekat.
