
PETALING JAYA: Seorang YouTuber dan pengkritik sukan bola sepak cedera parah selepas dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an itu didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
“Suspek memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi.
“Akibat kejadian itu, mangsa patah tulang mata dan beberapa kecederaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan,” katanya






