
KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi menyerahkan pencalonan kembali menduduki kerusi Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 2036 hingga 2037.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia kekal komited terhadap reformasi Majlis Keselamatan PBB termasuk isu pemansuhan veto serta agenda keamanan dunia.
Beliau berkata, pendirian Malaysia akan ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-81 di New York, Amerika Syarikat pada September ini.
“Pendirian Malaysia adalah jelas bahawa kuasa veto tidak adil dan perlu dimansuhkan. Paling tidak, penggunaan kuasa veto mesti dimansuhkan dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa melibatkan jenayah berat seperti jenayah perang, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan serta pemusnahan infrastruktur awam secara sengaja seperti yang berlaku di Gaza.
“Agenda Reformasi Majlis Keselamatan PBB dan isu keselamatan serta keamanan sejagat akan terus menjadi satu keutamaan dalam dasar luar negeri Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto oleh kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan PBB pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lukanisman berkata, kelantangan Malaysia di PBB bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya bersandarkan rekod prestasi baik dan kredibiliti negara sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali.
Katanya, Malaysia mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto dihadkan sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dicapai.







