
SHAH ALAM: Selepas lebih sedekad mencetuskan idea pembinaan sistem pengangkutan rel baharu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang kini beroperasi untuk kemudahan rakyat.
Keberangkatan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menaiki gerabak khas dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia mengambil masa kira-kira sejam merentasi 20 stesen.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, cadangan pembinaan laluan LRT3 itu tercetus selepas Sultan Sharafuddin menerima pelbagai aduan daripada rakyat berhubung kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing, khususnya di laluan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Baginda menzahirkan rasa syukur apabila projek infrastruktur yang sekian lama dinantikan akhirnya berjaya direalisasikan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat, selain mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa serta mampan.
“Perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat. Alhamdulillah, akhirnya LRT3 ini siap dan boleh digunakan. Beta percaya ada hikmah yang Allah SWT ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan keterujaan untuk melihat lima lagi stesen yang sebelum ini ditangguhkan, iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik disiapkan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Prasarana, MRCB serta lebih 13,000 individu yang terlibat dalam pembinaan projek berkenaan atas dedikasi dan komitmen mereka menjayakannya.
Laluan LRT3 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lalu itu dibina dengan kos RM16.63 bilion dan disokong oleh 40 bas perantara melibatkan 323 hentian di 13 laluan.
Sultan Sharafuddin berharap perkhidmatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat sekali gus menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas serta mewujudkan sistem mobiliti moden dan lestari.






