
AYER KEROH: DAP Melaka dijangka mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri sekiranya usul pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Langkah itu dipercayai susulan pendirian tegas parti berkenaan yang sebelum ini membantah cadangan pindaan berkenaan menerusi sidang media khas diketuai Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.
Empat ADUN DAP yang dijangka mengumumkan tindakan itu ialah ADUN Kesidang merangkap EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh yang juga Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; serta Timbalan EXCO, Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Difahamkan, DAP turut dijangka mengumumkan peletakan jawatan semua wakil parti itu dalam pentadbiran negeri, termasuk Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sebagai tanda membantah pindaan berkenaan.
Menurut sumber, sidang media yang dijadual berlangsung petang ini akan dipimpin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari, dan akan disertai Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka.
Ketika ini, komposisi DUN Melaka terdiri daripada 20 ADUN Barisan Nasional (BN), lima wakil PH dan tiga daripada Perikatan Nasional (PN).
Mengikut aturan urusan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Pembentangan itu akan diikuti sesi perbahasan, penggulungan dan undian oleh Ahli Dewan.






