
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama termasuk Arab Saudi dan Qatar, sekali gus menepis dakwaan harga bahan api di negara ini tidak lagi kompetitif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI kekal pada RM1.99 seliter, berbanding harga di Arab Saudi yang kini melebihi RM2.40 seliter.
Katanya, fakta itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memastikan harga bahan api kekal pada kadar mampu milik meskipun berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global.
“Harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta yang harus diingat.
“Dulu apabila kita minta harga minyak diturunkan kepada RM1.50, ketika itu harga di Arab Saudi sekitar 50 sen. Kini, harga RON95 di Malaysia RM1.99 seliter, manakala di Arab Saudi sudah melebihi RM2.40 seliter.
“Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mencatatkan harga yang lebih tinggi, malah UAE menaikkan harga minyak dua bulan lalu walaupun negara itu merupakan pengeluar minyak utama,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan perbandingan harga minyak ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta janji Anwar ketika menjadi pembangkang untuk menurunkan harga bahan api.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penilaian terhadap harga minyak tidak boleh dibuat secara berasingan, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat.
Menurut beliau, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol RON95 dan Program BUDI Diesel menjadikan nilai keseluruhan bantuan kerajaan ketika ini jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Keseluruhannya, bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya, tetapi saya tidak mahu membuat perbandingan kerana keadaan ekonomi dan pendapatan negara juga berbeza,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan membina bagi menambah baik dasar berkaitan harga bahan api demi memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Terdahulu, Rosol menerusi soalan asal meminta Perdana Menteri menjelaskan penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz serta langkah yang diambil bagi mengurangkan impaknya.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata, kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi, mengekalkan kestabilan harga barangan, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Beliau berkata, peruntukan STR dan SARA ditingkatkan kepada RM15 bilion tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan potongan sewa premis perniagaan.
Katanya, ketegangan geopolitik di Asia Barat serta gangguan terhadap laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada ekonomi global dan negara.







