
KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen diminta mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan kepada pihak Parlimen selewat-lewatnya pada 30 Oktober ini.
Langkah tersebut bagi memastikan rekod kesihatan setiap wakil rakyat sentiasa dikemas kini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, ia penting bagi membolehkan Parlimen mempunyai maklumat awal mengenai tahap kesihatan ahli Parlimen sekali gus memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku kecemasan.
“Laporan kesihatan Yang Berhormat ini penting untuk kita simpan di Parlimen kerana sekiranya berlaku sesuatu, kita sudah mempunyai maklumat awal.
“Jika kita perlu menghantar Yang Berhormat ke hospital, segala maklumat yang ada boleh terus diserahkan kepada pihak hospital,” katanya sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, ahli Parlimen yang memilih untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di luar Parlimen turut dibenarkan berbuat demikian.
Katanya, laporan atau dokumen pemeriksaan berkenaan perlu diserahkan kepada doktor bertugas di Parlimen bagi tujuan rekod dan simpanan.
Pada 8 Julai lalu, Johari mengingatkan semua ahli Parlimen supaya mengambil serius pemeriksaan kesihatan secara berkala susulan seorang wakil rakyat dilaporkan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).





