
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City, Johor.
Ia berikutan kebimbangan orang ramai termasuk dakwaan terdapat individu menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam kenyataan berkata, siasatan itu dilaksanakan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Menurut kementerian itu, semakan meliputi identiti dan kewarganegaraan individu terbabit, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan.
“Semakan turut merangkumi jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, tujuan kemasukan ke Malaysia serta pematuhan terhadap syarat di bawah undang-undang imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
KDN berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau sebarang kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.
“KDN menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan Johor dijadikan tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta KDN, JIM, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, KDN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus serta berlandaskan undang-undang.





