
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelakon dan pelawak, Harith Iskander, atas dakwaan mengaibkan serta memperlekehkan penampilan dan fizikalnya menerusi satu persembahan komedi yang diadakan pada Januari lalu.
Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 9 Jun, Rosmah, 75, mendakwa Harith ketika menjayakan persembahan Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Hotel Swiss-Garden, Melaka, terlebih dahulu memaparkan imej makhluk halus sebelum menayangkan gambarnya kepada penonton.
Dalam pernyataan tuntutannya, Rosmah mendakwa Harith terlebih dahulu memberitahu penonton seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap mungkin akan terlihat sesuatu yang menakutkan sebelum gambar beliau dipaparkan.
Menurutnya, tindakan itu memberi gambaran beliau disamakan dengan sesuatu yang menyeramkan serta dikaitkan dengan makhluk halus.
Rosmah mendakwa kenyataan berkenaan dibuat dengan niat untuk memalukan, menjatuhkan maruah dan mencemarkan reputasinya, selain dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap penampilan fizikalnya.
Katanya, perbandingan tersebut tidak dibuat dalam suasana perbualan biasa atau konteks neutral, sebaliknya ketika persembahan komedi secara langsung yang bertujuan menghiburkan penonton dan mencetuskan gelak tawa.
Saman itu difailkan oleh Rosmah menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Beliau turut mendakwa seorang pengguna TikTok, @mayychan0303, memuat naik dua rakaman persembahan tersebut, dengan video pertama mencatat lebih 219,000 tontonan dan 3,300 tanda suka, manakala video kedua meraih lebih 12,000 tontonan serta 145 tanda suka.
Rosmah berpendapat kenyataan yang didakwa memfitnah itu dibuat secara berniat jahat bagi menjejaskan nama baik dan maruahnya, selain mengandungi unsur penghinaan terhadap tubuh badan.
Beliau berkata, kenyataan tersebut turut memberi kesan kepada reputasinya sebagai tokoh awam, isteri bekas Perdana Menteri, penaung kepada pelbagai badan kebajikan dan persatuan serta penerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, Rosmah memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang dipertikaikan.
Beliau juga menuntut permohonan maaf tanpa syarat serta penarikan balik kenyataan tersebut secara bertulis yang perlu diterbitkan dalam dua akhbar arus perdana dan di platform media sosial yang dipersetujui olehnya atau peguamnya.
Peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Nur-Diana Ezlyn Hashim, mengesahkan kewujudan saman itu serta memaklumkan pengurusan kes dijadualkan berlangsung pada 31 Julai.
Pada masa sama, peguam Harith, Sangeet Kaur Deo, turut mengesahkan perkara berkenaan.
Dalam pernyataan pembelaannya, Harith menafikan paparan tersebut membawa maksud Rosmah adalah makhluk seram, menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau mempunyai apa-apa maksud fitnah seperti yang didakwa.
Beliau turut menegaskan rakaman yang dimuat naik di TikTok dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuannya serta tidak memaparkan keseluruhan konteks persembahan komedi yang dipersembahkan





