
MELAKA : DAP Melaka umum tarik sokongan daripada pentadbiran kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan itu diambil berlandaskan pendirian parti yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut kerana disifatkan tidak selari dengan amalan demokrasi serta prinsip pilihan raya.
Beliau memaklumkan semua wakil DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri akan meletakkan jawatan masing-masing, termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco dan Timbalan Speaker DUN.
“Atas prinsip demokrasi pilihan raya, kita akan keluar daripada kerajaan negeri Melaka serta-merta,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini, hari ini.”
Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, DAP berpendapat seseorang ADUN perlu dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya dan bukannya dilantik, lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai hak untuk mengundi dalam DUN.
Menurut beliau, jika kerajaan memerlukan kepakaran daripada golongan profesional atau pakar dalam bidang tertentu, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan status sebagai ADUN.
Katanya, konsep ADUN Lantikan bertentangan dengan asas demokrasi kerana wakil rakyat seharusnya memperoleh mandat secara langsung daripada pengundi.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan peletakan jawatan itu hanya melibatkan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak menjejaskan status mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih.
“Empat ADUN DAP masih kekal sebagai wakil rakyat tetapi akan melepaskan jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker.
“Mereka juga akan berpindah daripada blok kerajaan ke blok pembangkang pada persidangan DUN yang seterusnya,” katanya.
Tambah beliau, semua individu yang memegang lantikan politik atas kuota DAP dalam kerajaan negeri, termasuk ahli-ahli majlis, turut akan mengosongkan jawatan masing-masing dalam masa terdekat.
Jelasnya, surat peletakan jawatan telah disiapkan dan akan diserahkan kepada pihak berkaitan pada hari yang sama.






