
PUTRAJAYA: Ibu kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz melahirkan rasa syukur selepas anaknya dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan di mahkamah hari ini.
Keputusan tersebut sekali gus membuka ruang kepada keluarga untuk memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinan Syed Saddiq bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Menurut Sharifah Mahani, selama kes mahkamah masih berjalan, keluarganya tidak mempunyai kekuatan untuk memulakan sebarang persiapan kerana bimbang keputusan yang bakal diterima.
“Kami memang belum membuat apa-apa persiapan kerana menunggu keputusan hari ini. Setiap kali orang bertanya bila majlis perkahwinan akan berlangsung, saya memilih untuk tidak memberikan sebarang jawapan kerana hanya mahu menunggu keputusan mahkamah.
“Alhamdulillah, apabila keputusan memihak kepada Syed Saddiq, hati saya sangat lega. Bayangkan jika keputusan sebaliknya berlaku, saya tidak sanggup mengecewakan keluarga pihak perempuan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.
Dia berkata, keluarganya kini boleh memulakan persiapan sepenuhnya menjelang majlis perkahwinan pasangan itu yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.
“Sekarang bolehlah kami mula mengikat bunga telur dan membuat persiapan yang sebelum ini tertangguh. Selama ini memang tiada semangat kerana terlalu memikirkan kes yang sudah berlarutan begitu lama.
“Biarlah kebahagiaan ini menjadi milik mereka,” ujarnya.
Dia turut mengakui tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan mahkamah yang dianggap cukup penting buat masa depan anaknya.
“Memang saya tidak tidur dan tidak lalu makan. Orang selalu kata bercinta sampai tak makan, tetapi saya pula tak boleh makan kerana terlalu risau menunggu keputusan hari ini,” jelasnya.
Sharifah Mahani turut menzahirkan penghargaan kepada Bella yang disifatkan sentiasa setia menemani Syed Saddiq sepanjang berdepan proses perbicaraan.
Katanya, bukan mudah untuk seseorang kekal berada di sisi anaknya ketika melalui pelbagai dugaan, namun Bella membuktikan kesetiaannya dengan terus memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
“Saya selalu tertanya-tanya sama ada Syed Saddiq akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ujian ini bersamanya. Alhamdulillah, Bella sanggup.
“Insya Allah, dengan izin Allah, mereka dipermudahkan untuk disatukan. Saya melihat sendiri Bella berjuang bersama Syed Saddiq, mencari rezeki dan sentiasa memberi semangat ketika anak saya berdepan kesukaran.
“Orang yang mampu membahagiakan anak saya, dialah yang layak menjadi menantu saya,” katanya.





