
SEREMBAN: DAP jangka bakal berdepan cabaran getir sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila parti lawan akan terus memainkan sentimen perkauman dan menjadikan DAP sebagai sasaran utama untuk meraih sokongan pengundi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu sudah menjangkakan strategi tersebut kerana ia sering digunakan oleh pihak lawan bagi meletakkan DAP dalam kedudukan defensif.
“Kita tahu apa lagi modal mereka selain menyalahkan DAP terhadap apa sahaja isu yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Itulah naratif yang akan dimainkan. Mereka akan mendakwa semua salah DAP dan sebab itu DAP mesti ditolak. Kita melihat Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas, sudah memulakan serangan seperti ini walaupun mereka sedar sukar untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) serta mengumumkan calon baharu gabungan itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, di sini hari ini.
Anthony berkata, strategi sama turut digunakan pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri Johor apabila mereka tidak meletakkan calon di kebanyakan kerusi, sebaliknya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi menewaskan calon PH.
Menurutnya, perkara itu turut diakui sendiri oleh seorang pemimpin veteran yang kini bersama PAS.
“Kita akan terus menjelaskan kepada rakyat dan penyokong PH mengenai kepentingan mereka keluar mengundi bagi memastikan kemenangan gabungan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan menggesa parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC, menyatakan pendirian berhubung hasrat Pas untuk bekerjasama dengan BN serta menyokong calon UMNO sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu memperoleh kemenangan pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, kepimpinan kedua-dua parti berkenaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung pendirian mereka terhadap kerjasama tersebut.
“Saya ingin bertanya apakah pendirian MCA dan MIC. Pas menyatakan mereka akan bertanding menentang penyandang sekiranya kerusi itu disandang PAS, namun menyokong calon UMNO dalam keadaan tertentu.
“MCA dan MIC sepatutnya turun berkempen dengan pendirian yang jelas, bukannya cuba menyembunyikan perkara ini seperti yang berlaku pada PRN Johor,” katanya.







