
PUTRAJAYA : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna dana Armada serta pengubahan wang haram selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan dengan keputusan majoriti 2-1.
Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 34 tahun itu, wajar dilepas dan dibebaskan.
Sebelum ini, mahkamah menangguhkan pengumuman keputusan pada 30 Jun lalu selepas salah seorang hakim panel mengambil cuti sakit.
Rayuan pendakwaan dikemukakan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu yang membenarkan rayuan Syed Saddiq, sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Dalam kes berkenaan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam melakukan pecah amanah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda.
Selain itu, Syed Saddiq juga didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai transaksi terbabit jika sabit kesalahan.
Dalam keputusan terbaharu itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, berpendapat sabitan terhadap Syed Saddiq perlu dikekalkan.
Bagaimanapun, dua lagi hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan untuk melepaskan serta membebaskan beliau daripada semua pertuduhan yang dihadapinya.





