
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dirarah mengeluarkan notis saman terhadap individu dikesan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan akan dikuatkuasakan tanpa mengira latar belakang politik termasuk petugas kempen Pakatan Harapan (PH) susulan rakaman video yang tular itu.
“Pendirian saya jelas dan konsisten sejak dahulu lagi. Ketika saya membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil Slim River hampir enam tahun lepas, saya sudah tegaskan, tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen PH. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil serius isu yang tular berkaitan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk dari DAP, yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen PRN Johor.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri,” katanya.





