
PORT DICKSON: Kerajaan meluluskan sebanyak RM431 juta melalui peruntukan pembangunan (DE) di bawah belanjawan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rolling Plan Ke-5 (RP5) kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) membabitkan 70 projek sambungan dan 41 projek baharu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md Amir berkata, kelulusan ini membabitkan pelbagai projek antaranya pembangunan kampus baharu, perolehan tanah bagi kampus baharu, perolehan peralatan baharu, penggantian peralatan akademik usang, pembinaan tambahan bangunan dan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur serta bangunan.
“Selain peruntukan pembangunan TVET terdapat juga peruntukan RM41.6 juta bagi projek naik taraf termasuk projek usang yang akan dilaksanakan membabitkan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti.
“Terdapat juga peruntukan RM5 juta bagi pembangunan infra mesra bagi Orang Kurang Upaya di setiap bangunan politeknik dan kolej komuniti bagi memastikan tiada pelajar terpinggir sekali gus menyediakan persekitaran kondusif buat pelajar istimewa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Permakluman Projek RMK12 RP5 Tahun 2025 dan Pelancaran Rancangan Pembangunan PolyCC 10 Tahun (2026-
2035) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.
Mengulas lanjut, Mohamad Azhan berkata, pelaksanaan Rancangan Pembangunan POLYCC 10 Tahun adalah langkah penting untuk menjadikan politeknik dan kolej komuniti sebagai pusat kecemerlangan TVET bertaraf dunia iaitu melalui Rancangan Utama 9 Big Plans.
Katanya, fokus 9 big plans ini merangkumi perancangan holistik secara sistemik yang antaranya memberi fokus kepada pembangunan program TVET yang mampan, penyediaan ruang baharu yang kondusif, perolehan peralatan teknologi terkini, pembangunan kompetensi pensyarah serta menyediakan platform yang tersusun.
“Selain itu, melalui pelan ini juga kita akan menyediakan platform tersusun dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, inovasi bagi menyokong pembangunan ekonomi mampan tanpa memberi
kesan negatif kepada kesihatan bumi.
“Rancangan itu juga membuktikan komitmen JPPKK dalam memastikan POLYCC terus kekal relevan, mampu bersaing dan memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar, khususnya dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital, minyak dan gas serta sebagainya,” katanya.