TRIPOLI: Seorang pengedar telefon bimbit di Tripoli, Libya, akhirnya menerima penghantaran telefon Nokia yang ditempah sejak tahun 2010.
Penantian selama 16 tahun itu merangkumi model Nokia klasik berbutang seperti telefon edisi muzik dan peranti awal siri Communicator yang dianggap sebagai teknologi premium terkandas berikutan perang saudara Libya pada 2011.
Walaupun penghantar dan penerima berada beberapa kilometer antara satu sama lain di Tripoli, bungkusan tersebut terbiar dan dilupakan di gudang selama lebih sedekad akibat konflik dan ketidakstabilan politik negara terbabit.
Satu video memaparkan pemilik kedai membuka kotak telefon berkenaan menjadi tular di media sosial.
Dalam klip berkenaan, dia kelihatan ketawa bersama rakan-rakannya sambil berseloroh bertanya sama ada peranti itu telefon atau artifak.
Kisah tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna dalam talian malah ramai menyatakan bahawa kejadian itu menggambarkan bagaimana konflik berpanjangan boleh mengganggu operasi perniagaan harian.
Ada juga yang membuat spekulasi bahawa telefon-telefon yang kini dianggap vintaj itu mungkin mempunyai nilai sebagai barangan koleksi. – agensi
