
KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat pengangkut jenis CN-235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pagi ini.
Kejadian itu menyebabkan landasan utama lapangan terbang berkenaan ditutup sementara.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), selaku pengendali lapangan terbang, mengesahkan kejadian itu berlaku pukul 11.30 pagi yang melibatkan pesawat milik TUDM.
“Landasan ditutup bagi membolehkan kerja pemindahan pesawat serta pembersihan dijalankan dengan selamat.
“Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan ini dijangka berterusan sehingga pukul 3 petang hari ini,” katanya melalui kenyataan.
MAHB turut memaklumkan sepanjang tempoh penutupan landasan, semua operasi penerbangan di lapangan terbang itu akan terjejas.
“Penumpang dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.
“Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat terkini sebaik landasan diisytiharkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.





