SAMARKAND: Sektor awam negara akan terus diperkukuh bagi memenuhi keperluan rakyat yang sentiasa berubah-ubah, Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, dalam masa sama terus menyumbang secara bermakna kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), Malaysia mencapai kemajuan besar dalam pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam dengan lebih 10,000 perkhidmatan kerajaan atau 77 peratus disediakan secara dalam talian sekali gus meningkatkan akses dan kemudahan untuk rakyat.
“Kami mengurangkan beban pelesenan pada peringkat Persekutuan dan tempatan hampir 60 peratus dan menjimatkan lebih RM9 bilion melalui usaha pengurusan nilai dan pemansuhan lebih 38,000 jawatan berlebihan, menggambarkan komitmen kami terhadap tadbir urus berhemah dan penyampaian perkhidmatan yang cekap,” katanya dalam ucapan pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2025.
Fadillah berkata satu daripada tonggak utama dalam transformasi perkhidmatan awam ialah penerapan nilai H.E.M.A.T, (Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi,dan Tadbir Urus Telus).
“Reformasi ini disokong Strategi Bersepadu dan Bersekutu yang memastikan teknologi dan data diterapkan dalam transformasi tadbir urus,” katanya.
Fadillah berkata komitmen Malaysia terhadap masa hadapan yang mampan turut dibuktikan melalui penubuhan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Perkara ini mencerminkan keputusan strategik kerajaan untuk menyelaraskan utiliti awam penting dengan tindakan iklim, inovasi teknologi dan pembangunan inklusif.
“PETRA dipertanggungjawabkan untuk mengubah model tadbir urus air dan tenaga negara. Ia memimpin usaha untuk memperkukuh grid elektrik bagi masa hadapan, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, terutamanya solar dan hidro untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan memodenkan pengurusan sumber air.
“Ia juga bertujuan memastikan perancangan infrastruktur berpadu dengan kemampanan dan akses sama rata sebagai teras utama,” katanya.
