
SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan seramai 200,000 individu dapat dibebaskan daripada status kebankrapan menjelang hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setakat ini kira-kira 186,000 individu telah dilepaskan daripada masalah tersebut.
Beliau berkata, jumlah berkenaan diperoleh menerusi rekod Jabatan Insolvensi Malaysia hasil pelaksanaan pelbagai usaha kerajaan dalam memberi peluang kedua kepada golongan terbabit untuk meneruskan kehidupan.
“Kami berharap menjelang akhir tahun ini, jumlah keseluruhan individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan dapat mencapai angka 200,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Perdana Literasi Kewangan Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Jabatan Insolvensi Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Azalina berkata, sebanyak 25,578 kes kebankrapan direkodkan pada 2021 hingga Mei 2025 membabitkan individu berumur bawah 25 tahun hingga 55 tahun dan ke atas dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 10,145 kes kebankrapan membabitkan golongan umur 35 hingga 44 tahun.
Berdasarkan jantina, lelaki direkodkan mengalami kebankrapan lebih tinggi berbanding wanita iaitu sebanyak 18,590 orang bagi tempoh sama.





