KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas susulan serangan Iran terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan tempatan dan kekal berhubung dengan kedutaan untuk mendapatkan maklumat serta nasihat terkini.
“Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memantau secara rapi situasi keselamatan semasa di Qatar.
“Ia dilakukan dengan terus menjalinkan komunikasi rapat bersama pihak berkuasa tempatan serta rakyat Malaysia yang berdaftar, selain memantau perkembangan semasa di lapangan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha.
“Keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia kekal sebagai keutamaan kerajaan. Kementerian bersama agensi berkaitan, akan terus menilai keadaan dan mengambil langkah yang sewajarnya.
“Ia bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Qatar,” menurut kenyataan itu.
Iran mengumumkan pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah pangkalan tentera AS di Qatar sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear utama negara itu.
Majlis Keselamatan Negara Iran mengesahkan pangkalan itu menjadi sasaran sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif dan biadab AS terhadap tapak nuklear Iran.
Kementerian Luar berkata, ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di rantau itu boleh menghubungi Kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau menerusi emel dutyofficer@kln.gov.my.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media rasmi dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar menasihati rakyat Malaysia yang merancang melakukan perjalanan untuk menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing bagi memastikan kelancarannya.
Katanya, ia susulan ruang udara Qatar sudah dibuka semula.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di Qatar dinasihatkan sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa melalui sumber yang sahih serta mematuhi arahan rasmi dikeluarkan kerajaan Qatar.
“Bagi pertanyaan lanjut, boleh berhubung melalui emel, mwdoha@kln.gov.my atau di talian, +97444836463 (waktu pejabat) atau +97433746733 (selepas pejabat),” katanya.
