
SELAYANG: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 mencatatkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dengan catatan 0.01 mata kepada 2.85, berbanding 2.84 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, peningkatan itu sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi sejak peperiksan STPM dilaksanakan.
Beliau berkata, prestasi keseluruhan calon turut memberangsangkan dengan seramai 1,266 calon atau 3.06 peratus mendapat PNGK 4.00 berbanding 1,116 calon pada 2023.
“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhan didapati bilangan longgokan dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 meningkat berbanding 2023.
“Dengan peningkatan bilangan calon pada PNGK, maka insya-Allah lebih ramai calon lepasan STPM 2024 diterima masuk ke universiti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.
Keputusan STPM 2024 dikeluarkan hari ini bermula pukul 11.30 pagi melalui platform dalam talian di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS).




