KUALA LUMPUR: Hotel Seri Pacific keluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada UMNO.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain memerintahkan perkara itu selepas UMNO dan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan bersetuju mengenai pemindahan hak milik tanah berkenaan.
Dalam penghakiman persetujuannya, Roz Mawar berkata, harta yang dikenali sebagai Geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur (“Hartanah tersebut”) didaftarkan atas nama Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Sanusi Junid (“Pemegang Amanah”) adalah dipegang sebagai pemegang amanah bagi manfaat UMNO.
“Pemilikan hartanah tersebut yang didaftarkan atas nama pemegang amanah diletak hak dan didaftar atas nama UMNO dengan semua hak, kepentingan dan milikan ke atasnya selaras dengan peruntukan Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.
“Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi kesan kepada perenggan (2) di atas menurut Seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965 dan mengambil segala langkah perlu untuk melaksanakan dan mendaftarkan peletakan hak hartanah tersebut dalam tempoh 30 hari,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO (plaintif), Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata dengan perintah ini, segala isu berkaitan pindah milik harta Hotel Seri Pacific selesai,” katanya.
Mengenai isu keingkaran pihak pemegang amanah memindah milik harta berkenaan, Hafarizam berkata, perintah mahkamah menjadikan segala isu polemik berkenaan keengganan pemegang amanah menandatangani atau tidak pemindahan harta itu, selesai dan menjadi akademik.
“Mahkamah memberi perintah atas permohonan kami dan dengan persetujuan pihak PTG yang diwakili peguam kanan persekutuan, bahawa harta itu dipindah milik daripada nama empat pemegang amanah kepada UMNO,” katanya.
Perintah itu berkuat kuasa hari ini dan perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.
Pada 6 Mac lalu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan, memfailkan saman pemula dengan menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.
Menerusi saman itu, UMNO memohon perintah a pemilikan geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Kuala Lumpur yang didaftar atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Daim, Musa, Dr. Mahathir dan Sanusidipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Selain itu, UMNO memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial dalam dokumen hak milik.
