
KUALA LUMPUR: Kadar penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim meningkat 55 peratus berbanding 43 peratus pada Jun tahun lalu berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh firma penyelidikan Merdeka Center.
Kadar itu dipengaruhi beberapa faktor seperti rakyat berpandangan negara dalam keadaan lebih stabil, senario politik semakin pulih, dan Anwar mengetuai kerajaan dengan majoriti dua per tiga di Parlimen.
“Dari segi ekonomi, data kerajaan menunjukkan kadar inflasi menurun kepada 1.4 peratus pada Mac lalu, iaitu paras terendah dalam tempoh tiga tahun.
“Pertumbuhan ekonomi negara juga mencecah 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini, selain kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berserta bantuan tunai kepada penjawat awam dan subsidi bahan api membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
“Keputusan untuk mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 juga memberi isyarat pentadbiran kerajaan semakin berprinsip,” menurut tinjauan tersebut.
Kajian itu dilakukan pada Mei lalu melibatkan 1,208 pengundi berdaftar terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus (Cina), tujuh peratus (India), enam peratus (Bumiputera Islam) dan enam peratus (Bumiputera bukan Islam) dari Sabah dan Sarawak.
Kesemua responden dipilih berdasarkan persampelan berstrata rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan Kawasan pilihan raya negeri.
Namun, kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan isu ekonomi kekal sebagai isu keutamaan penduduk.
Kadar penerimaan kerajaan Persekutuan berada pada paras 50 peratus pada Mei, berbanding 40 peratus pada Jun tahun lalu.
Bagi kadar ketidakpuasan pula, tahun ini direkodkan sebanyak 48 peratus, iaitu menurun berbanding 58 peratus pada tahun lalu.
Tanggapan rakyat mengenai adakah negara menuju ke arah yang salah juga dicatatkan menurun tahun ini iaitu lima peratus berbanding 60 peratus pada tahun lalu.
Peratusan pengundi yang berpandangan negara berada di landasan yang betul turut meningkat kepada 43 peratus, berbanding 29 peratus pada Jun tahun lalu.





