KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) mengesahkan tiada jemaah mereka yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia susulan negara-negara Arab termasuk Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai menutup ruang udara buat sementara waktu susulan ketegangan yang terus memuncak di rantau itu.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, sebaliknya penerbangan jemaah umrah Andalusia QR845 seramai 22 orang yang sepatutnya bertolak pada 9.30 pagi tadi ditunda dan telah dijadualkan semula pihak penerbangan atas faktor teknikal berkaitan laluan ruang udara.
Beliau berkata, Qatar Airways telah melakukan perubahan jadual penerbangan sebaik sahaja ia disahkan selamat untuk terbang semula awal pagi esok pada pukul 2.55 pagi, dan semua jemaah berada dalam keadaan baik, selesa serta dijaga sepenuhnya pasukan petugas Andalusia.
“Selaras dengan itu, kami juga ingin merujuk kepada kenyataan rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Doha yang telah dikeluarkan pada hari ini mengesahkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula.
“Justeru itu, perjalanan udara telah kembali beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada pengesahan semasa syarikat penerbangan masing-masing.
“Kami menyambut baik perkembangan ini yang menunjukkan bahawa situasi semasa sudah kembali terkawal dan semua penerbangan akan kembali berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Ida Riswana, pihaknya turut mengambil langkah-langkah seperti menyediakan penginapan sementara dan menyediakan makanan serta sokongan logistik sepanjang tempoh menunggu kepada para jemaah terlibat.
“Selain itu kami turut menyediakan saluran komunikasi langsung kepada semua jemaah dan waris serta memastikan tiada jemaah terabai atau terkesan secara negatif sepanjang proses,” jelasnya.
Katanya, Andalusia kekal komited menjaga amanah dan kebajikan jemaah serta memastikan ibadah umrah berlangsung dengan lancar dan selamat.
“Insya-Allah, semua pergerakan jemaah dan perkhidmatan yang kami sediakan akan dikendalikan dengan penuh teliti.
“Buat masa ini, kami sentiasa berhubung rapat dan sentiasa berkomunikasi dengan semua syarikat penerbangan dan pihak Kementerian Pelancongan untuk sentiasa mendapat berita terkini dari masa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa pengesahan rasmi.
Pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama semua pelanggan dan orang awam untuk berhubung terus dengan syarikat itu di talian 03-92831588.
