
PUTRAJAYA: Sebanyak 48 projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Langkah itu sebahagian daripada usaha negara memperkukuh agenda peralihan tenaga dan meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik.
PETRA menerusi kenyataan berkata, projek-projek ini melibatkan sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak 181.25 megawatt (MW), di bawah mekanisme Tarif Galakan (Feed-in Tariff atau FiT).
“Ia dijangka menjana nilai pelaburan sekitar RM1.87 bilion, dan mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2028.
“Permohonan kelulusan projek dibuka dari 15 Januari hingga 19 Februari 2025, dengan penawaran kapasiti sebanyak 190MW merangkumi tiga sumber TBB tersebut.
“Sebanyak 59 permohonan diterima, dan daripada jumlah itu, 48 projek yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan telah diluluskan,” menurut kenyataan itu.
Antara projek yang diluluskan termasuk 20 projek biogas berkapasiti 30.93MW, lapan projek biojisim dengan kapasiti 53.50MW dan 20 projek hidrokuasa kecil berkapasiti 96.82MW
Menurut PETRA, pelaksanaan projek-projek ini adalah sebahagian daripada komitmen kementerian untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.
“Usaha ini juga bertujuan meningkatkan daya harap sistem elektrik negara melalui kepelbagaian sumber penjanaan yang lebih mampan dan konsisten, termasuk tenaga daripada biogas dan biojisim yang mampu membekalkan tenaga secara firm (berterusan),” katanya.
Keputusan penuh e-bidding di bawah mekanisme FiT boleh diakses melalui laman web rasmi SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.
PETRA yakin pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan memperkukuh industri TBB negara, malah menyokong agenda Malaysia MADANI yang mengutamakan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan bersama.






