JOHOR BAHRU, 23 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berucap pada Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pengumuman pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu menamatkan segala spekulasi, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurutnya, proses pelantikan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara berjalan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 122B, serta mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
“Saya ingin tekankan budaya menyebar fitnah tanpa fakta harus dihentikan.
“Setiap keputusan berkaitan pelantikan hakim dibuat dengan mempertimbangkan kedudukan badan kehakiman sebagai satu daripada institusi teras dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya kepada media hari ini.
Anwar turut menyangkal dakwaan wujud campur tangan dalam urusan kehakiman, sambil menegaskan beliau tidak pernah membuang atau menghantar mana-mana hakim ke tribunal.
Beliau juga menafikan laporan yang mendakwa nama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, bekas Peguam Negara dan Hakim Mahkamah Persekutuan, telah dicalonkan sebagai Ketua Hakim Negara.
“Nama beliau tidak pernah diusulkan kerana masih mempunyai banyak tahun perkhidmatan. Cerita itu tidak berasas.
“Ini satu amanah besar, dan saya yakin mereka akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.
Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada tiga tokoh kehakiman atas pelantikan mereka iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara; Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara disahkan menerusi kenyataan rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Majlis penyampaian watikah dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia akan berlangsung pada 28 Julai ini di Istana Negara, di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas rundingan bersama Majlis Raja-Raja.





