
KLUANG: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menyerahkan enam projek siap bernilai RM186.1 juta kepada kerajaan Johor, hari ini.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan penduduk amat penting bagi memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan serta dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kerajaan Persekutuan menerusi Petra komited turun padang ke negeri-negeri untuk menilai keadaan semasa berkaitan projek atau program dalam sektor tenaga, tenaga boleh baharu dan air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Siap kepada Kerajaan Johor, di sini.
Lima projek adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu Projek Menaik Taraf Empangan Bekok, Projek Menaik Taraf Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal untuk Kawalan Banjir Negeri Johor, Projek Penambakan Pemecah Ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut di Muar, Projek Menaik Taraf Sistem Saliran Mesra Alam Sungai Suloh di Batu Pahat serta Projek Pembinaan U-shape Konkrit dari Sungai Batu Pahat ke Pekan Semerah.
Satu lagi projek pula ialah Projek Penyaluran Air Mentah Layang 2 di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA).
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata, terdapat perancangan untuk projek penggunaan tebatan banjir yang lebih besar bagi Johor.
‘Petra mengambil maklum mengenai perubahan iklim dan hujan yang berterusan ketika ini sehingga menyebabkan kawasan berisiko terjejas, namun itu tidak bermakna tiada usaha mitigasi atau kaedah yang boleh diambil untuk kurangkan risiko banjir.
“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga mengingatkan mengenai keperluan untuk melihat ruang dan peluang bagi memastikan semua projek dapat disiapkan dengan baik.
“Disebabkan itu, di peringkat kementerian dan jabatan, kita sudah pun ambil inisiatif untuk buat kajian serta perbincangan kerana melibatkan banyak cabaran dan komiteman,” katanya.
Beliau berkata, Petra menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Isu Bekalan Air dan Tebatan Banjir Johor komited menyelaras semua isu berkaitan semasa peringkat prapelaksanaan agar projek dapat disegerakan.
Akmal Nasrullah berkata, di bawah Rolling Plan kelima (RP-5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 29 projek dengan kos keseluruhan RM5.64 bilion serta peruntukan 2025 sebanyak RM224.8 juta sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi Johor.