
KUALA SELANGOR: Rutin harian seorang warga emas melawat kubur arwah isterinya setiap pagi Jumaat bertukar berita menyedihkan apabila dia dilaporkan hilang pada minggu lalu sebelum mayatnya ditemukan tidak jauh dari rumah.
Menurut anak Allahyarham Mohd Sharip Basiron, bapanya keluar untuk melawat kubur arwah ibunya pada pagi Jumaat lalu dan sekali pada sebelah petang sebelum dilaporkan hilang.
“Arwah ayah keluar dari rumah pada 3 Januari lalu pada waktu pagi, kemudian lagi sekali pada sebelah petang. Dia kata mahu melawat kubur arwah ibu.
“Namun, selepas itu ayah tidak pulang dan kami bersama penduduk setempat melakukan pencarian termasuk di Pantai Remis dan Sungai Sembilang, selain mengedarkan poster wajah ayah.
“Kehilangan ayah akhirnya terjawab apabila orang awam menemukan mayatnya di kawasan kebun sawit Jalan Maksah 2, Jeram, di sini kelmarin pada pukul 8.14 malam,” kata Romainor Fridaus Mohd Sharip, 38.
Pada hari kehilangannya, kelibat warga emas terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang videonya kemudian dalam media sosial.
Dalam pada itu, Romainor memaklumkan arwah bapanya merupakan seorang yang ceria bersama keluarga dan penduduk kampung biarpun sering menunjukkan gejala pelupa sejak beberapa bulan lalu.
“Selama 27 tahun ayah menjaga arwah ibu yang sakit di rumah sehinggalah ibu meninggal dunia.
“Sepatutnya pada 17 Januari ini ayah ada temu janji di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya ketika ditemui di Kampung Simpang Tiga, Jeram.
Romainor memberitahu, dia hanya mengetahui mayat bapanya ditemukan kebun kelapa sawit semasa dia berada di Segamat, Johor.
“Kali terakhir saya berjumpa ayah tiga minggu lalu dan dia memuji saya kerana membeli rumah di Johor.
“Ayah juga berniat sekiranya dia meninggal dunia, dia mahu dikebumikan di Jeram. Tak sangka itu kata-kata terakhir ayah.
“Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami mencari arwah,” ujarnya.
Jenazah Mohd Sharip dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Tiga Jeram.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai masalah daya ingatan akibat uzur.
Katanya, lelaki warga emas itu tidak membawa dokumen pengenalan diri namun terdapat beberapa keping wang kertas berterabur di sekitar lokasi kejadian.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).