
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk pembangunan sukan bola sepak negara, menyaksikan suntikan tambahan sebanyak RM15 juta yang akan dibiayai pihak swasta.
Semasa Belanjawan 2025 sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta yang bertujuan melestarikan sukan tersebut.
Anwar berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain menyediakan pasukan utama supaya lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
“Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang memerlukan perubahan keseluruhan dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan dapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan jurulatih yang dilantik.
“Usaha juga akan ditumpukan dalam mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya.
“Usaha itu termasuk memberi pendedahan kepada skuad bawah 23 negara dan langkah itu membolehkan pasukan utama sentiasa mempunyai barisan pemain yang berpengalaman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar juga menzahirkan harapan agar Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan.
“Saya harap Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail boleh meneliti, menilai dan mendukung semua langkah yang diambil berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri boleh sepak.
“Pengetahuan baginda mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kela bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang boleh digunakan untuk membantu Harimau Malaya dan [asukan pengurusannya,” katanya.
Justeru itu, Anwar mahu rakyat Malaysia terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama negara ini ke peringkat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.