
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan kini diperingkat menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah yang bertujuan untuk mengatasi isu berkaitan kehadiran dan keciciran pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu merupakan pengenalan dasar baharu, antara lain bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang., sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Ini antara langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu berkait rapat dengan kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara.
“Beri kita masa sedikit untuk buat ‘conclusion’ (rumusan) berkaitan kehadiran (calon SPM 2024) sehingga kertas terakhir, insya-Allah,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, dasar itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Katanya, walaupun kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi masalah keciciran pelajar, namun ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak kementerian semata-mata, sebaliknya pastikan anak-anak mengambil peperiksaan penting berkenaan.
“Tindakan (diambil KPM untuk memastikan calon SPM hadir peperiksaan) dibuat secara berterusan sepanjang tahun, bukannya tertumpu ketika tempoh SPM semakin hampir, termasuk program Cakna Ziarah membabitkan komuniti dan ibu bapa.
“Hari ini, saya ambil kesempatan memberi peringatan kepada ibu bapa supaya mengambil tanggungjawab berhubung kehadiran anak masing-masing yang sedang menduduki SPM.
“SPM sangat penting dan ini peperiksaan terakhir mereka dalam era persekolahan. Jadi kita minta ibu bapa bersama-sama memastikan isu kehadiran ini dapat ditangani bersama,” katanya.