
AYER KEROH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri Melaka bagi membangunkan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ia diumumkan Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta kepada Majlis TVET Negara bagi pemerkasaan bidang keusahawanan TVET yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan para belia masa kini.

“Keadaan kini sudah berubah dan berlaku kepesatan membanggakan dalam bidang TVET, ini menunjukkan usaha serta ikhtiar semua pihak memberikan kesan serta keyakinan terhadap pemerkasaan bidang TVET.
“Sehubungan itu, keseluruhan peruntukan TVET memang telah meningkat dan bidang keusahawanan, ia ditambah lagi khusus untuk negeri Melaka dan Majlis TVET Negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, bidang baharu tersebut akan diberi tumpuan dengan sinergi bersama syarikat-syarikat yang ada dalam negara selain membantu latihan supaya anak-anak ini mendapat pendedahan dengan syarikat dan industri baharu.
Dalam pada itu, Anwar menambah, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menubuh Suruhanjaya Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda transformasi TVET yang sedang giat dilaksanakan.

“Saya menghargai peranan Majlis TVET dan wajar sebagai pihak yang melihat sendiri keadaan serta tumpuan yang diberikan, ada cadangan yang harus kita beri pertimbangan termasuk menjadikan TVET satu suruhanjaya dan kita akan tunggu apakah pertimbangan itu boleh diberi secara sesegera mungkin berdasarkan perubahan yang berlaku.
“Bayangkan jumlah pelajar dan jenis latihan yang bertambah. Saya dan Kementerian Kewangan akan meneliti supaya bidang TVET diberikan keutamaan dari segi keperluan machinery, bentuk latihan serta kepakaran yang diperlukan untuk penambahbaikan TVET,” katanya.
Sambutan Hari TVET Negara pada 2 Jun setiap tahun merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk menjadikan bidang TVET sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya saing.
Pada tahun ini, Hari TVET Negara bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ menyajikan pelbagai acara menarik untuk para pengunjung termasuk seminar, bengkel serta pertandingan berasaskan inovasi, teknologi dan teknikal.







