
SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak didapati cuba mengaitkan nama syarikat itu dengan kes penipuan infak haji.
Pengurus Kanan Unit Agama dan Bimbingan Andalusia, Mohamad Taha Hassan berkata, syarikat itu sedang menyiasat perkara berkenaan kerana ia mencemarkan reputasi dan nama baik perniagaan Andalusia.
“Kami akan menyiasat dahulu. Sebelum ini sudah banyak (kes penipuan) berlaku. Mereka datang secara peribadi, individu dan cuba mendekati kami termasuk menggunakan nama kami sebagai ejen untuk membawa jemaah umrah serta haji.
“Tindakan kami adalah sentiasa berwaspada, kami ingatkan semua, mengeluarkan memo dan sebagainya. Ia ada pelbagai kes, kalau teruk kita akan cuba selesaikan di mahkamah, kalau sekadar baru guna nama tapi tak ambil duit, kita tengok isunya macam mana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 37 laporan polis membabitkan seramai 124 jemaah yang disyaki menjadi mangsa penipuan infak haji dengan jumlah kerugian mencecah lebih RM2 juta.
Sementara itu, Mohamad Taha menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kes penipuan umrah dan haji yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan pihak yang ingin menaja pakej umrah atau haji secara percuma/infak/separuh kepada mereka kerana setiap pakej ada kos yang dibayar.
“Kami ingin menasihati orang ramai supaya berurusan dengan syarikat pelancongan berlesen dari Kementerian Pelancongan (MOTAC) dan pastikan status syarikat tersebut adalah aktif.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang bayaran kepada akaun individu, semua bayaran perlu dipastikan kepada akaun syarikat atau ejen pelancongan berkenaan,” jelasnya.
Katanya, orang ramai juga perlu lebih prihatin dengan maklumat terkini perjalanan termasuk hal-hal berkaitan tiket penerbangan, insurans perjalanan, penginapan dan visa.







