
KUALA LUMPUR: Lokasi nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Seksyen 170.4 pada Ahad lalu adalah antara lokasi dikenal pasti untuk pemasangan lampu solar, khususnya di selekoh berbahaya.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan berkata, sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan Lebuh Raya Timur-Barat (FT004) bagi tahun ini dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kemajuan kerja penyelenggaraan di laluan berkenaan setakat 5 Jun lalu merangkumi pelbagai skop, termasuk penilaian turapan, pembaikan struktur jalan, pencahayaan serta keselamatan infrastruktur.
Katanya, kerja-kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA) sudah siap sepenuhnya dan kini berada dalam peringkat penyediaan laporan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.
“Projek itu kini dalam proses perolehan oleh JKR Perak dan dijangka siap pada penghujung Oktober 2025,” katanya.
Penilaian berkenaan menggunakan teknologi terkini seperti Multi Laser Profiler (MLP), Falling Weight Deflectometer (FWD), Dynamic Cone Penetrometer (DCP) serta kaedah Trial Pit .
Alexander berkata, teknologi dan kaedah berkenaan akan menjadi asas kepada perancangan penyenggaraan turapan akan datang.
Kata beliau, pelaksanaan Program Berkala Bukan Pavemen membabitkan 10 skop kerja utama bernilai RM14.5 juta, termasuk pemasangan sistem penghadang, papan tanda, pembetung baharu serta penyenggaraan pagar jambatan.
“Kerja pembinaan bagi program berkenaan bermula pada 17 April lalu dan sudah mencapai kemajuan 10 peratus, dijangka siap sepenuhnya pada 30 Ogos depan.
“Dalam aspek pencahayaan jalan, KKR turut melaksanakan Program Penyelenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat bernilai RM3.58 juta yang merangkumi penyelenggaraan lampu isyarat dan pemasangan lampu solar,” katanya.
Alexander berkata, bagi Program Penyelenggaraan Berkala Pavemen, peruntukan RM80 juta sudah disediakan untuk 55 skop kerja yang akan dilaksanakan berdasarkan laporan PCA yang akan dimuktamadkan kelak.
“KKR memberi jaminan setiap sen diperuntukkan adalah demi kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya. KKR komited memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan mengikut jadual.
“Kerjasama serta kesabaran semua pihak amat dihargai dalam menjayakan pelaksanaan projek ini. Kami akan terus memantau rapi perkembangan kerja dan memaklumkan statusnya dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Kementerian dan JKR,” katanya.





