
KUALA LUMPUR: Bagi suku pertama tahun 2025, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion, menyaksikan peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi kenyataan, jumlah pelaburan itu melibatkan 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, serta dijangka mewujudkan lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat negara ini.
Pelaburan asing (FI) kekal dominan dengan menyumbang RM60.4 bilion atau 67.3 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM29.4 bilion atau 32.7 peratus.
”Pencapaian itu menandakan keyakinan pelabur semakin meningkat dan berterusan terhadap dasar yang jelas, sekali gus menjadi asas ekonomi jangka panjang.
”Ia juga menunjukkan bertentangan dengan trend aliran modal antarabangsa yang berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, serta serta persaingan global yang semakin sengit untuk menarik pelaburan baharu,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peningkatan Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) kepada 46.3 peratus menunjukkan kejayaan dalam mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan berpendapatan lebih baik.
“Seiring integrasi ekonomi ASEAN yang lebih kukuh, Malaysia berazam untuk mengekalkan kedudukannya sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan utama bagi rantau pesat membangun dengan populasi 680 juta ini.
”Persekitaran pelaburan pada 2025 dijangka kekal mencabar berikutan halangan geopolitik dan makroekonomi yang berterusan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China.
“Namun, dasar ekonomi Malaysia yang jelas seharusnya mampu menarik lebih banyak pelaburan daripada ekonomi Asia yang sedang berkembang, yang diunjur berkembang sehingga 42 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global menjelang 2040,” katanya.




