
SEPANG: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) membuka tirai musim umrah 1447H dengan kali ini menyasarkan seramai 80,000 jemaah umrah setahun.
Pengurus Kanan Unit Agama dan Bimbingan Andalusia, Mohamad Taha Hassan berkata, syarikat itu yakin sasaran tersebut mampu dicapai susulan sudah menerbangkan seramai 50,434 jemaah pada musim umrah 1446H.
Beliau berkata, pada musim umrah kali ini Andalusia menawarkan pakej umrah dengan harga serendah RM5,990 bagi pendaftaran terawal.

“Seperti semua sedia maklum, sekarang masih dalam musim haji. Untuk jemaah yang berlepas ke Tanah Suci hari ini dapat merasa suasana musim haji.
“Jemaah akan turun di Jeddah dan kemudian pergi ke Taif terlebih dahulu. Selepas itu kita akan bawa mereka ke Masjid Qarnul Mananzil untuk miqat di sana dan niat ihram kemudian masuk ke Mekah.
“Mereka akan berada selama 10 hari sembilan malam di Mekah dan empat hari tiga malam di Madinah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 41 jemaah termasuk seorang mutawif dan ketua pelancongan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah selepas musim haji 1446H awal pagi ini.
Kesemua jemaah berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 pagi.
Mohamad Taha berkata, setakat ini kumpulan pertama jemaah umrah itu menggunakan visa pelancong berikutan sistem visa umrah masih belum dibuka.
Katanya, visa umrah akan mula dibuka pada 1 Muharram 1447H iaitu pada 26 atau 27 Jun ini.







