
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi jaminan pelaksanaan projek Mobile Phone Data (MPD) mengikut piawaian antarabangsa.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membenarkan perkongsian data telefon mudah alih untuk tidak menamakan identiti atau mana-mana individu bagi pembangunan kemajuan infrastruktur.
Berikut adalah soalan-soalan lazim berkaitan MPD:
- Apa itu Projek MPD?
Projek MPD atau Data Telefon Bimbit merupakan inisiatif kerajaan menerusi data pergerakan rakyat yang dianonimkan (tiada maklumat peribadi) daripada telefon bimbit bagi merancang perkhidmatan awam seperti jalan raya, pengangkutan awam, kawasan pelancongan, atau semasa bencana.
Contoh: Jika ramai pengguna dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data ini boleh bantu kerajaan tambah bas ekspres atau naik taraf jalan utama.
- Data apa yang digunakan?
Ia menggunakan data lokasi dari telefon bimbit bila berhubung dengan menara telekomunikasi. Tapi data ini tidak ada nama, nombor telefon atau kad pengenalan, malah ia dirahsiakan dan digabungkan secara umum supaya tidak boleh dikesan semula oleh sesiapa.
Contoh: Sistem hanya tahu ‘5000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai’, tapi tidak tahu siapa pemiliknya.
- Adakah data peribadi saya diambil?
Tidak. MPD tidak ambil nama, nombor telefon, lokasi spesifik anda atau apa-apa maklumat peribadi. Semua data diproses secara keseluruhan dan tanpa identiti.
Contoh: Seperti bancian kedai, jumlah pelanggan yang datang ke kedai boleh dikenal pasti, tapi tidak mengenal pasti identiti mereka.
- MPD dijadikan alat penjejak?
Tidak. MPD bukan alat penjejak. Ia hanya melihat trend pergerakan umum, bukan individu.
Contoh salah faham: ‘Kerajaan tahu saya ke mana tiap hari’.
Fakta sebenar: ‘Tidak. Kerajaan hanya tahu secara statistik seperti 10,000 orang masuk Langkawi minggu lepas’.
- Siapa boleh tengok data ini?
Hanya pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Ia tidak dikongsi dengan syarikat swasta atau pihak luar.
Contoh: Syarikat e-dagang, pengiklan, atau aplikasi sosial tidak boleh mengakses data berkenaan.
- Apa berlaku selepas data digunakan?
Data dipadam atau disimpan secara selamat mengikut peraturan ketat. Tiada simpanan kekal tanpa justifikasi.
Contoh: Lepas data digunakan untuk kaji kesesakan musim cuti sekolah, ia akan dipadam mengikut garis panduan.
- Bagaimana MCMC jaga privasi data?
MCMC mengikut undang-undang dan protokol keselamatan termasuk:
a) Data tanpa identiti
b) Akses terhad
c) Tiada simpanan sewenang-wenangnya
d) Audit berkala
Contoh: Sama seperti sistem undi pilihan raya iaitu jumlah dikira, tapi identiti pengundi adalah rahsia.
- Projek ini mengikut standard siapa?
Projek ini mengikut garis panduan dari ITU (Pertubuhan Telekomunikasi Dunia), GSMA dan Dasar Keselamatan ICT negara.
Contoh: ITU adalah badan PBB, sama seperti WHO untuk kesihatan, ITU untuk teknologi.
- Apa peranan ITU dalam projek ini?
ITU beri bimbingan teknikal, struktur data dan semakan standard antarabangsa.
Contoh: ITU bantu pastikan sistem kita selamat dan setanding negara maju seperti Korea atau Perancis.
- Negara lain ada melakukan projek MPD?
Ya. Negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis guna data telefon untuk perancangan.
Contoh: Sepanyol guna data semasa Covid-19 untuk kesan kawasan mana paling aktif dan perlu kawalan pergerakan.
- Bagaimana data diproses?
Data diproses oleh syarikat telekomunikasi menggunakan sistem MCMC. MCMC hanya terima data yang sudah dianonim dan diagregat.
Contoh: MCMC tidak melihat data mentah pelanggan. Cuma terima ‘titik tumpuan’ pergerakan tanpa identiti.
- Ada audit atau pemantauan untuk elak salah guna?
Ya. Semua proses diaudit. Data asal kekal di syarikat telekomunikasi dan tidak dikongsi.
Contoh: Seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV), hanya pengawal yang diberi akses boleh tengok, dan ada audit siapa tengok apa.
- Adakah keizinan pengguna diperlukan?
Tidak perlu sebab data tak kenal pasti sesiapa. Sama seperti bancian atau statistik trafik jalan raya.
Contoh: Kita tak perlu dapatkan izin setiap pemandu untuk kira jumlah kereta guna lebuh raya setiap hari.
- Kenapa rakyat tahu dari media luar, bukan dari kerajaan?
Beberapa laporan media luar tidak tepat dan mengelirukan. MCMC dan syarikat telekomunikasi sudah jelaskan projek ini bukan jejak individu, tapi untuk perancangan pembangunan negara.
Contoh salah faham: Kerajaan mahu intip rakyat
Fakta sebenar: Ia sebenarnya adalah kajian seperti berapa banyak/peratus jumlah pelancong masuk Sabah – bukan tahu siapa, tapi tahu berapa ramai.






