AYER KEROH: Pertandingan Peringkat Pra-Kelayakan WorldSkills ASEAN Manila 2025 menjadi tumpuan Hari TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Negara 2025 di sini hari ini.
Pertandingan sepanjang tiga hari sambutan Hari TVET Negara bermula hari ini sehingga Ahad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu menyaksikan para peserta diuji daripada aspek kreativiti dan inovasi.
Ia bagi melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan WorldSkills ASEAN Manila 2025 mewakili negara.
Salah satu aktiviti yang mencuri tumpuan ramai adalah Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2025 bagi kategori Additive Manufacturing melibatkan seramai 80 peserta.

Pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Mohd Asnawi Omar, 41, yang merupakan salah seorang juri berkata pertandingan itu diadakan untuk mencari finalis mewakili negara dalam kejohanan WorldSkills peringkat ASEAN di Manila, Filipina.
“Pertandingan ini mencari peserta dengan kreativiti dan inovasi melalui hasil karya dalam bidang pembuatan yang dapat memberi manfaat kepada industri terutama bidang berkaitan pembinaan mesin.
“Finalis ini akan membawa nama Malaysia pula pada kejohanan dunia yang bakal diadakan di Shanghai, China pada pertengahan tahun hadapan jika meraih kejayaan peringkat ASEAN,” katanya kepada Ceritera.
Beliau memberitahu, seramai 80 peserta mendaftar bagi kategori Additive Manufacturing sepanjang tiga hari pertandingan merangkumi dua sesi itu.
Katanya, pertandingan WorldSkills itu melibatkan penyertaan peserta berusia 22 tahun dan ke bawah yang menuntut dalam bidang TVET.

Selain kategori Additive Manufacturing, turut berlangsung ialah pertandingan bagi segmen Try-A-Skill: Virtual Drone Racing, ASEAN TVET Friendly Match 2025 dan Fashion Technology yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Kesuma turut mengendalikan hab Konvensyen TVET dalam penganjuran seminar TVET dan pembentangan kertas kerja persidangan serta hab Karnival Kerjaya TVET MYFutureJobs melibatkan temu duga terbuka industri melibatkan 50 syarikat.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ itu meliputi sembilan konsep pameran mengikut sektor utama bidang tersebut iaitu Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; dan Perkhidmatan.

Antara segmen hab lain yang disediakan ialah Pameran TVET, Keusahawanan TVET, Kerjasama Industri serta Infotainmen TVET yang memaparkan pelbagai kejayaan graduan bidang berkenaan.
Majlis perasmian Hari TVET Negara 2025 akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Ia sejajar kerangka Malaysia Madani, kerajaan meletakkan TVET sebagai agenda keutamaan negara menerusi peluasan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia untuk membina kerjaya masa depan berasaskan kemahiran.
