
KUALA LUMPUR: Semua permit dan lesen pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak dibatalkan serta-merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan gagal memastikan sistem GPS berfungsi.
Beliau berkata, pengendali terbabit yang beralamat di Kedah itu telah memajakkan permit kepada individu dari Kelantan dengan bayaran RM500 sebulan.
“Pemilik permit diketahui beralamat dari Kedah dan memajak permit kepada pihak ketiga iaitu seorang individu dari Kelantan dengan bayaran hanya RM500 sebulan.
“Secara dasarnya, ia telah menyalahi undang-undang dan perjanjian yang telah dibuat oleh pemilik permit itu sebelum ini dengan Kementerian Pelancongan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada awal pagi Isnin, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan.
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu, dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta pelbagai jenis Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik.
Pemandu bas mengalami kecederaan tangan, manakala pemandu dan penumpang Perodua Alza cedera ringan.






