
KUALA LUMPUR: Tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak gagal digugurkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini, Jabatan Peguam Negara menolak representasi dihantar bekas Perdana Menteri itu pada 31 Julai 2023.
Ashrof Adrin memaklumkan, pendakwaan akan membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan 807 eksibit dokumen dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC sebelum ini daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi kerana berada dalam simpanan mahkamah.
Katanya, semua dokumen itu diperlukan untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA).
“Untuk mengesan dan mendapatkan semula eksibit berkenaan mungkin mengambil masa, jadi pihak pendakwaan sedang mencari tarikh bagi perbicaraan kemudian untuk membolehkan pengumpulan dokumen dan penyediaan kenyataan saksi dibuat.
“Dokumen berkenaan tidak boleh diperoleh dengan serta-merta. Kali terakhir pendakwaan melihat eksibit itu adalah semasa perbicaraan (SRC pertama) pada 2020 dan tidak pasti di mana ia berada.
“Pihak pendakwaan tidak boleh bersetuju dengan DNAA. Walaupun tidak bersedia untuk meneruskan serta-merta perbicaraan kerana masa yang diperlukan untuk mendapatkan dokumen, kami berhasrat untuk meneruskan dengan perbicaraan, kami mengakui bahawa mengesan dokumen akan mengambil masa tetapi mengekalkan bahawa ini tidak mewajarkan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA),” katanya.
Dengan keputusan itu, perbicaraan bagi AMLA dana SRC diteruskan di Mahkamah Tinggi di sini.
Sementara itu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya anak guamnya DNAA daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram SRC.
Muhammad Shafee berkata, DNAA adalah paling terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.
Beliau berkata, tuduhan terhadap Najib dibuat pada 2019 di mana sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula dikemukakan pada 31 Julai 2023.
“Pembelaan percaya terdapat merit bagi representasi berkenaaan kerana sifat muktamad perbicaraan kes penyelewengan dana SRC yang pertama membabitkan RM42 juta dan rayuan yang seterusnya.
“Kes ini sudah bermula sejak 2019, dan penangguhan menjangkau enam tahun. Dokumen berkaitan kes SRC pertama sudah tersebar di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil,” katanya.
Tambah beliau, pihak pembelaan mencadangkan DNAA bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk melakukan persediaan tanpa prejudis.
“Tertuduh tidak seharusnya menunggu selama-lamanya bagi tarikh perbicaraan untuk ditetapkan. Keadilan memerlukan kejelasan dan kepastian bagi kedua-dua pihak,” katanya.






